Budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit
buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi
pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal
manusia. Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang
dibawa atau dikerjakan oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula
jadi"' yang bukan diciptakan atau boleh diubah oleh manusia. Di dalam
bahasa Inggeris, kebudayaan disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan
Latin colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan.
Pengertian
Kebudayaan mempunyai hubungan erat dengan masyarakat.
Menurut Melville J. Herskovits dan Bronislaw Malinowski, segala sesuatu yang
terdapat di dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubungkait atau boleh
ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki masyarakat itu sendiri. Fahaman ini
dikenal di kalangan ahli antropologi (kajian manusia) sebagai fahaman
determinisme (atau penentuan) budaya. Herskovits seterusnya memandang budaya
sebagai sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi
seterusnya dan konsep ini disebut sebagai organik lampau (atau ringkasnya
superorganik).
Sementara itu, menurut Andreas Eppink pula, kebudayaan ialah
keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur
kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang
membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Pengertian sebegini dipersetujui
oleh Edward B. Taylor. Beliau memandang budaya sebagai satu konsep menyeluruh
yang rumit yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila,
undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang
diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Ahli antropologi dari alam
Nusantara, iaitu Selo Soemardjan dan Soelaiman Soemardi pula memegang
kebudayaan sebagai alat penghasilan karya seni, rasa dan penciptaan di dalam
masyarakat.
Daripada kesemua pengertian ini, kebudayaan bolehlah
disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan
pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan
untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat
http://ms.wikipedia.org/wiki/Budaya
0 Comments:
Post a Comment